Syed Saddiq arah wang RM1 juta diagih sehari selepas SPRM geledah rumah – Saksi

Spread the love

KUALA LUMPUR, 20 Julai : Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Syed Saddiq Syed Abdul Rahman telah mengarahkan wang RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) diagihkan dalam kalangan exco sayap parti, sehari selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan menggeledah kediaman Ahli Parlimen Muar itu di Petaling Jaya pada 31 Mac 2020.

Pegawai penyiasat SPRM, Mohd. Syahmeizy Sulong, 37, berkata wang yang dikeluarkan dari bank pada 6 Mac 2020 berada dalam kawalan Rafiq Hakim Razali, yang ketika itu Penolong Bendahari Armada, Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan tiada transaksi dibuat dalam tempoh berkenaan sebelum ia diagihkan pada 1 April 2020.

“Wang itu  disimpan di rumah Rafiq Hakim sebelum ia diagihkan kepada kepada Ketua Penerangan Pemuda Bersatu Wilayah Persekutuan Muhammad Daniel Kusari dan Muhammad Naqib Ab Rahim yang ketika itu ahli Bersatu,” katanya semasa pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Mohamed Tahir pada perbicaraan kes Syed Saddiq yang berdepan empat pertuduhan pecah amanah dan pengubahan wang haram.

Disoal Muhammad Asyraf apa yang menyebabkan wang RM1 juta itu tiba-tiba diagihkan kepada Muhammad Daniel dan Muhammad Naqib, saksi menjawab: Wang diagihkan selepas pihak SPRM mula siasat dan geledah rumah YB Syed Saddiq pada 31 Mac 2020.

Mohd Syahmeizy, yang menyiasat kes penyelewengan dana Armada dihadapi Syed Saddiq berkata berdasarkan keterangan saksi yang dirakam, duit itu dikeluarkan oleh dua pemegang amanah Armada, Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan Mohamed Shafi, yang ketika itu Penolong Setiausaha Armada atas arahan Syed Saddiq.

Menurut Penguasa Kanan SPRM itu, cek pengeluaran wang berkenaan ditandatangani oleh Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan kerana Syed Saddiq tidak mempunyai masa untuk pergi ke bank selain tandatangannya sering berubah.

Saksi pendakwaan ke-25 itu berkata siasatannya juga mendapati, pada 31 Mac 2020, tertuduh telah menghubungi Rafiq Hakim dan arahkannya untuk ‘clear’ wang yang disimpan di rumah Rafiq Hakim kerana tertuduh risau wang itu akan dijumpai dan disita oleh pihak SPRM.

Kepada soalan Muhammad Asyraf, saksi berkata pihak SPRM menggeledah rumah Syed Saddiq pada hari berkenaan (31 Mac) susulan siasatan dijalankan oleh seorang lagi pegawai penyiasat, Muhamad Khairi Muhamad Rodi untuk menyiasat kehilangan wang berjumlah RM250,000 di rumah ahli politik tersebut.

Menurut Mohd Syahmeizy, daripada RM1 juta itu, wang berjumlah RM650,000 diagihkan kepada Muhammad Daniel manakala RM250,000 kepada Muhammad Naqib.

Bagaimanapun, saksi berkata pihak SPRM hanya menemukan wang berjumlah RM425,537 daripada Muhammad Daniel dan menyita wang berkenaan.

Disoal Muhammad Asyraf di mana baki wang itu, saksi menjawab: Hasil keterangan Muhammad Daniel, baki wang telah diagihkan kepada ketua bahagian dan ahli-ahli Armada.

Terdahulu, Mohd Syahmeizy berkata terdapat perbincangan melibatkan Syed Saddiq, Rafiq Hakim dan Ahmad Redzuan pada awal Mac 2020 dan keterangan saksi menyatakan Syed Saddiq amat risau pergolakan yang berlaku selepas ‘Langkah Sheraton’.

“Oleh itu, YB Syed Saddiq tanya Rafiq Hakim berapa wang yang ada dalam akaun Armada pusat. YB Syed Saddiq nyatakan wang dalam akaun Armada merupakan hasil titik peluh sepanjang beliau menjadi Ketua Armada. Rafiq Hakim kemudian beritahu YB Syed Saddiq baki semasa akaun berjumlah lebih RM1 juta,” katanya.

Beliau turut memaklumkan pengeluaran wang itu dibuat selepas kedudukan Syed Saddiq dalam Pakatan Harapan goyah dan ia disokong oleh beberapa keterangan saksi yang diambil iaitu Ahmad Redzuan, Rafiq Hakim dan bekas Exco Armada Abdul Hannaan Khairy.

Kepada soalan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin, mengapa Syed Saddiq dituduh kali pertama pada 22 Julai 2021 sedangkan izin untuk mendakwa dikeluarkan pada 4 Jan tahun sama, saksi menjawab: Untuk siasatan terhadap YB Syed Saddiq, pihak SPRM telah membuka lima kertas siasatan yang berbeza aduan dan maklumat. 

“Oleh itu, pertuduhan terhadapnya dibuat terlalu lama disebabkan saya memerlukan keterangan saksi  bagi menyamakan dengan kertas siasatan lain kerana ketika itu ada kertas siasatan yang belum siap ke atas YB Syed Saddiq,” kata saksi.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid bersambung. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.