Sistem perkongsian data bantu agensi kerajaan ‘kenal’ kontraktor bermasalah

Spread the love

KUCHING, 20 Julai : Kementerian Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan Awam Sarawak akan mengkaji cadangan untuk mewujudkan sistem data kontraktor tempatan yang berdaftar dengan pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan.

Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian yang juga menteri di kementerian berkenaan berkata, kajian itu penting bagi membantu setiap agensi kerajaan untuk mengenal pasti kontraktor ‘bermasalah’.

Katanya, sebelum ini terdapat kontraktor yang telah ditamatkan kontrak kerana tidak menepati standard kerja namun ‘mencari’ agensi kerajaan lain bagi mendapatkan tender baharu.

“Apabila dilaksanakan kelak, sistem ini akan dapat mengelakkan agensi kerajaan lain memberikan tender kepada kontraktor yang telah ditamatkan kontraknya sehingga menyebabkan berlaku kelewatan projek,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis Perbandaran Padawan di sini hari ini.

Menurut Dr. Sim, sekiranya perkara itu tidak dibendung, ianya akan memberikan impak negatif terhadap projek pembangunan yang meliputi kos selain meningkatkan risiko ‘projek sakit’.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.