Pemandu dan penumpang rentung, van terbakar selepas langgar pokok

Spread the love

SIBU, 20 Julai : Pemandu dan penumpang sebuah van ditemukan rentung selepas kenderaan itu terbakar di Jalan Kong Yit Khim, di sini pagi tadi.

Kedua – dua mangsa tersepit dalam kenderaan itu yang hangus sepenuhnya selepas melanggar sebatang pokok dalam kejadian kira – kira pukul 5 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkifli Suhaili berkata, setakat ini identiti kedua-dua mangsa belum dikenal pasti.

Katanya, van itu dari arah Jambatan Durin menuju ke pusat bandar dan dipercayai hilang kawalan dan seterusnya terbabas ke kanan jalan.

“Pemandu dan penumpang di hadapan disahkan meninggal dunia oleh petugas Hospital Sibu.

“Polis masih menjalankan siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,”katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Terdahulu, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 5.10 pagi.

Setibanya di lokasi kejadian, pasukan bertindak memadamkan kebakaran sehingga api padam sepenuhnya pada pukul 6.05 pagi.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4, Sarawak, Penguasa Lanan I, Janggan Muling berkata, pihaknya turut mengeluarkan dua mayat rentung itu dan diserahkan kepada pihak polis

Ujarnya, anggota bomba turut menabur pasir di atas jalan raya susulan jalan licin akibat tumpahan minyak diesel yang dibawa oleh van itu. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.