Mahkamah Persekutuan tolak rayuan LHDN berhubung akses akaun pelanggan firma guaman

Spread the love

PUTRAJAYA, 20 Julai : Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan hari ini menolak rayuan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berhubung hak untuk mengakses dan mengaudit akaun pelanggan yang diuruskan oleh firma guaman.

Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, yang mengetuai panel itu berkata isi kandungan akaun pelanggan yang berkaitan dengan akaun dan wang milik pelanggan adalah dilindungi oleh keistimewaan peguam-pelanggan.

“Justeru peguam tidak dibenarkan mendedahkan atau memberikan isi kandungan akaun pelanggan kepada LHDN berdasarkan peruntukan Seksyen 126 Akta Keterangan 1950.

“Keistimewaan itu dimiliki pelanggan dan bukan peguam. Ia memerlukan pelanggan untuk mengetepikan keistimewaan itu agar peguam boleh memberikan kandungan akaun pelanggan kepada LHDN,” katanya.

Tengku Maimun berkata LHDN gagal memahami bahawa kandungan akaun pelanggan adalah terdiri daripada wang dan dokumen milik seorang pelanggan dan dibuat atau diberikan semasa menggaji peguam untuk mendapatkan perkhidmatan.

Tengku Maimun berkata tiada alasan kukuh yang diberikan bagi membolehkan LHDN melihat akaun pihak ketiga untuk mengenakan cukai terhadap peguam atau firma guaman.

Dalam keputusan sebulat suara itu, beliau juga berkata mahkamah berpandangan bahawa Seksyen 142(5) Akta Cukai Pendapatan 1967 tidak mengetepikan Seksyen 126 Akta Keterangan yang menyatakan bahawa wang milik seorang pelanggan adalah dilindungi oleh keistimewaan peguam-pelanggan.

Beliau juga berkata terdapat pengecualian kepada Seksyen 126 yang memberikan keisimewaan iaitu seorang peguam dibenarkan membuat laporan mengenai perlakukan aktiviti haram membabitkan pelanggannya kepada pihak berkuasa.

“Ini menyediakan perlindungan yang mencukupi terhadap orang yang cuba secara tidak sah mengelak daripada dikenakan cukai,” katanya.

Tengku Maimun berkata LHDN hendaklah dihalang daripada memulakan ‘satu ekspedisi memancing’ untuk meneliti akaun pembayar cukai dengan tujuan mengenakan cukai.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Nallini Pathmanathan, Datuk Vernon Ong Lam Kiat,  Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Rhodariah Bujang serta Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Hanipah Farikullah.

Pada 2016, Majlis Peguam menulis surat kepada Ketua Pengarah LHDN menyatakan ia menerima aduan daripada ahlinya bahawa LHDN telah menyerbu firma guaman bagi melakukan audit ke atas akaun pelanggan mereka serta mendesak untuk melihat buku dan rekod perakaunan terbabit.

Majlis Peguam mendakwa dokumen dan maklumat yang diminta oleh LHDN adalah dilindungi oleh keistimewaan peguam-pelanggan dan tidak boleh diberikan kepada LHDN.

Pada 7 Dis tahun sama, Ketua Pengarah LHDN menjawab dan mengatakan bahawa audit ke atas akaun pelanggan perlu dilakukan bagi memastikan ‘pematuhan cukai’ oleh pembayar.

Ketua Pengarah LHDN berkata audit itu tidak bercanggah dengan mana-mana keistimewaan peguam-pelanggan kerana Seksyen 142 (5) Akta Cukai Pendapatan 1967 mengatasi peruntukan Akta Keterangan 1950 dan Akta Profesion Perundangan 1976.

Majlis Peguam kemudian memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memohon beberapa deklarasi berhubung isu itu dengan menamakan Ketua Pengarah LHDN sebagai responden.

Pada 2 April 2018, Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang memihak kepada Majlis Peguam dan memutuskan bahawa Seksyen 142 (5) tidak mengatasi Seksyen 126 Akta Keterangan.

Justeru, keistimewaan yang diperuntuk di bawah Seksyen 126 Akta Keterangan menghalang Ketua Pengarah LHDN daripada mendesak untuk mendapatkan dokumen atau maklumat berkaitan akaun peguam bela dan peguam cara pelanggan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan telah mengekalkan keputusan itu pada 27 Okt tahun lepas yang mendorong Ketua Pengarah LHDN membawa perkara tersebut ke Mahkamah Persekutuan.

Ketua Peguam Cara Hasil Dr Hazlina Hussain hadir bagi pihak Ketua Pengarah LHDN, peguam Anand Raj mewakili Majlis Peguam manakala Persatuan Undang-Undang Sabah dan Persatuan Peguam Bela Sarawak bertindak sebagai amicus curiae (sahabat mahkamah).  -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.