Suhaimi doakan Zalina Azman selamat

Spread the love

KUCHING, 19 Julai : Bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Sarawak Media Group (SMG), Suhaimi Sulaiman mendoakan agar personaliti televisyen, Zalina Azman yang dilaporkan hilang ditemui dengan selamat.

Suhaimi yang juga bekas rakan sekerja Zalina ketika di TV3 berkata, seperti orang lain, beliau juga terkejut apabila membaca laporan mengenai kehilangan bekas pengacara berusia 58 tahun itu.

Suhaimi berkata, sepanjang bertugas di stesen swasta berkenaan, dia mempunyai hubungan yang baik dengan Zalina yang diketahui sebagai seorang yang sangat perahsia.

“Ketika bertugas dahulu, dia sangat profesional dan senang untuk bekerjasama,”katanya ketika dihubungi TVS hari ini.

Semalam, Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner (ASP) Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan Zalina yang dibuat oleh anak lelakinya, Mikhael Norman, 33, pada 29 November tahun lepas.

Baca > > > Bekas pembaca berita dilaporkan hilang sejak tahun lepas

Katanya, Zalina disedari hilang ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan datuknya dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

“Pada 29 November 2021, pengadu dan pak ciknya sampai di rumah ibunya di Seksyen 3, Shah Alam dan mendapati kereta ibunya berada di rumah,” katanya.

Beliau memberitahu, pemeriksaan di rumah Zalina yang dipercayai tinggal seorang diri mendapati keadaan di dalam rumah tidak tersusun namun mangsa tiada di rumah.

“Turut ditemui beg duit milik ibu pengadu mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, wang tunai RM600 serta kunci kereta,” katanya.

Beliau berkata segala usaha mencari telah dilakukan namun gagal menemui wanita itu.

Sementara itu, Suhaimi mengakui sudah lama tidak mendengar perkhabaran daripada Zalina selepas beliau meninggalkan TV3 pada 2003.

“Kali terakhir saya berjumpa dengannya ialah di sebuah restoran pada 2015,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.