Sarawak tawarkan ‘pinjaman’ kepada Kerajaan Persekutuan

Spread the love

KUCHING, 19 Julai : Memahami dasar mengoptimumkan perbelanjaan yang bakal dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Sarawak bersedia memberi pinjaman kepada Putrajaya.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ‘pinjaman’ yang bakal diberikan kelak itu boleh dilaksanakan mengikut formula tertentu.

Katanya, Sarawak bersedia berbuat demikian memandangkan projek – projek yang mahu ditangguhkan oleh Kerajaan Persekutuan mempunyai kepentingan kepada rakyat.

“Tidak mungkin kita (Sarawak) beri (pinjaman) secara percuma, mesti ada formula.

“Contohnya sebelum ini Timbalan Premier Sarawak, Dato Sri Dr. Sim Kui Hian berkata, Pusat Kanser yang ditubuhkan, kita bayar wang pendahuluan namun Kerajaan Pusat akan membayar semula kepada Sarawak menerusi sewa atau sebagainya,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Fatwa Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini.

Abang Johari berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed baru – baru ini bahawa semua projek pembangunan yang belum dimulakan akan ditangguh atau dibatalkan terus sebagai menyahut langkah penjimatan dalaman yang diarahkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kerajaan negeri mempunyai kemampuan kewangan untuk meneruskan projek pembangunan kerana sekiranya dibatalkan, rakyat merupakan kumpulan yang paling terkesan dengan mengambil kira persekitaran ekonomi hari ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.