Sarawak guna ‘duit sendiri’ teruskan projek pembangunan

Spread the love

KUCHING, 19 Julai : Kerajaan Sarawak memutuskan untuk meneruskan semua projek pembangunan yang dirancang di negeri ini dengan menggunakan peruntukan kewangannya sendiri.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana sekiranya projek pembangunan dihentikan di negeri ini, ia dikhuatiri akan menjejaskan ekonomi.

Katanya, lebih dibimbangi ialah rakyat juga akan kehilangan pekerjaan akibat langkah tidak meneruskan projek – projek berkenaan.

“Bukan bermakna kita (kerajaan negeri) tidak berjimat, namun kita teruskan kerana Sarawak mempunyai kemampuan (kewangan) untuk laksanakan projek – projek berkenaan malahan sudah dirangka,”katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Fatwa Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini.

Abang Johari berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed baru – baru ini bahawa semua projek pembangunan yang belum dimulakan akan ditangguh atau dibatalkan terus sebagai menyahut langkah penjimatan dalaman yang diarahkan menerusi Pekeliling Perbendaharaan Malaysia.

Kenyataan itu mendapat reaksi pelbagai termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak bersetuju.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, antara projek – projek pembangunan di Sarawak yang akan diteruskan dengan pembiayaan sendiri termasuklah pembinaan jalan raya serta projek kesejahteraan rakyat di luar bandar. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.