Sarawak akan tubuh Pusat Astronomi Borneo di Pantai Damai

Spread the love

KUCHING, 19 Julai : Bagi memperkasakan ilmu falak, Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Mufti Negeri Sarawak (JMNS) akan menubuhkan Pusat Astronomi Borneo di Pantai Damai, Kuching.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana ilmu astronomi sangat penting untuk pembangunan dunia digital.

Ujar beliau, berikutan jangkaan disiplin ilmu berkenaan akan menjadi perkara penting dalam pembangunan tamadun manusia pada masa hadapan, Sarawak mahu melahirkan bakat dalam bidang itu.

“Ini kerana astronomi mempunyai nilai ekonomi dan pembangunan masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Seminar Fatwa Peringkat Negeri Sarawak di sini hari ini.

Tambah Abang Johari, kerajaan negeri akan membantu JMNS dalam aspek penyediaan infrastruktur.

Sementara itu, Abang Johari berkata, bagi merancakkan lagi pembangunan teknologi di Sarawak, kerajaan negeri juga telah bekerjasama dengan Universiti Teknologi Swinburne dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

“Kita bersetuju untuk menubuhkan lab Universiti Teknologi Swinburne di Gedong dan kemudahan serupa untuk UNIMAS di Sebuyau.

“Ini akan menjadi pusat kepakaran pertanian selain memajukan industri di hiliran,”ujarnya.

Sementara itu, beliau berkata, Pusat Astronomi Borneo juga dapat dijadikan sebagai sebuah pusat eko-pelancongan di negeri ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.