Liga Super : Sarawak United gagal kutip mata di Darul Aman

Spread the love

KUALA LUMPUR, 19 Julai : Selepas mengharungi lima perlawanan liga tanpa kemenangan sebelum ini, Kedah Darul Aman FC akhirnya kembali mengutip tiga mata penuh apabila menundukkan Sarawak United, 3-1, di Stadium Darul Aman, Alor Setar.

Rembatan kencang pemain import, Mahmoud Nayef Ahmad Almardi berjaya membuka tirai jaringan Kedah pada minit kelapan sebelum pasukan pelawat mendapatkan gol penyamaan menerusi Uche Agba pada minit ke-23.

Bersambung babak kedua, penyerang import dari Cameroon, Ronald Ngah kembali menceriakan penyokong tuan rumah selepas meledak gol kedua Kedah pada minit ke-74 sebelum jaringan kedua peribadi Mahmoud Nayef, hasil percubaan cantik dari jarak jauh lima minit kemudian, melengkapkan malam bergaya buat pasukan utara tanah air itu.

Keputusan malam ini menyaksikan Kedah yang mengutip 17 mata berada di tangga keempat liga sekali gus memintas Terengganu yang meraih 16 mata di kedudukan kelima manakala Sarawak United kekal di tangga ke-10 dengan 10 mata.

Sementara itu, Sabah FC merapatkan jurang mata dengan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim selepas menewaskan Terengganu FC, 2-1 dalam perlawanan liga itu yang  berlangsung di Stadium Likas, Kota Kinabalu malam ini.

Kemenangan Skuad Badak pada malam ini membolehkannya mengumpul 25 mata daripada 12 perlawanan, hanya satu mata sahaja di belakang pasukan Harimau Selatan yang memperoleh 26 mata selepas 10 perlawanan. 

Pemain import dari Korea Selatan, Park Tae-Su muncul wira Sabah FC apabila membantu pasukannya  bangkit daripada ketinggalan selepas pasukan pelawat mengejutkan tuan rumah menerusi jaringan pemain tengah Filipina, Manuel Ott yang memanfaatkan situasi kelam kabut di hadapan gawang Sabah FC untuk menolak masuk hantaran pendek Petrus Shitembi pada minit kedua masa kecederaan babak pertama.

Bagaimanapun, segala-galanya berubah pada separuh masa kedua bagi skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu apabila mereka hanya memerlukan tempoh tujuh minit untuk memadam kelebihan dimiliki Terengganu FC.

Tae-Su atau mesra dengan gelaran “Karim” dalam kalangan penyokong Sabah berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-72 untuk Skuad Badak  apabila menanduk masuk sepakan sudut daripada pemain berpengalaman yang juga ketua pasukan Baddrol Bakhtiar.

Gandingan dua pemain itu sekali lagi membuahkan hasil selepas Tae-Su membuktikan tandukannya sekali lagi berbisa untuk menggandakan jaringan buat Sabah pada minit ke-79, hasil sepakan percuma daripada Baddrol dan kedudukan itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.