China dijangka tingkatkan import minyak sawit Malaysia di sebalik cabaran global semasa

Spread the love

KUALA LUMPUR, 19 Julai : Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yakin China akan meningkatkan import minyak sawit walaupun sedang berdepan cabaran global semasa.

Menteri berkenaan Datuk Zuraida Kamaruddin berkata ekonomi kedua terbesar dunia itu bersedia untuk mengimport lebih banyak minyak sawit, buah-buahan tropika dan produk pertanian lain dari Malaysia susulan lawatan Menteri Luar China Wang Yi ke negara ini.

“Ini tentunya satu berita baik memandangkan ketidaktentuan yang menyelubungi perdagangan minyak sawit antarabangsa yang dapat dilihat menerusi kejatuhan harga minyak sawit mentah ke paras di bawah RM4,000 setiap tan selepas melonjak lebih RM8,000 setiap tan pada Mac 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 2021, China merangkumi 11 peratus daripada jumlah import minyak sawit global dan 12 peratus daripada eksport minyak sawit Malaysia.

China mengimport 6.38 juta tan minyak sawit pada tahun lepas, termasuk 1.67 juta tan dari Malaysia.

Bagi tempoh Januari hingga Mei 2022, harga minyak sayuran yang tinggi telah mengekang pembeli dan peniaga di China daripada mengimport minyak sawit dan minyak masak lain secara aktif, menyebabkan import minyak sawit turun 58.3 peratus tahun ke tahun atau 1.52 juta tan kepada 960,000 tan.

Bagi tempoh Januari hingga Jun 2022, eksport minyak sawit Malaysia ke China berjumlah 565,842 tan iaitu 175,640 tan atau 31 peratus lebih rendah berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

“Dengan cabaran ekonomi global semasa seperti kadar faedah yang tinggi, tekanan inflasi dan kebimbangan mengenai kemelesetan ekonomi, China dijangka mengimport 4.8 juta tan minyak sawit tahun di seluruh dunia pada 2022 berdasarkan andaian bahawa kuantiti import Jun hingga Disember 2022 adalah sama seperti 2021,” tambahnya.

Bagaimanapun, Zuraida berkata jumlah import minyak sawit China untuk 2022 tidak mungkin menghampiri jumlah yang dicatatkan pada tahun lepas.

“Beberapa faktor yang mempengaruhi harga minyak sawit seperti permintaan daripada sektor hiliran, situasi kacang soya di China, dasar Indonesia untuk membendung kenaikan harga minyak sawit domestik dan bekalan minyak masak global yang ketat akan terus menjejaskan prospek eksport minyak sawit Malaysia ke China,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.