Bekas pembaca berita dilaporkan hilang sejak tahun lepas

Spread the love

SHAH ALAM, 19 Julai : Bekas pembaca berita sebuah stesyen televisyen, Zalina Shaharah Azman yang dilaporkan hilang sejak November tahun lepas masih tidak dapat dijumpai walaupun segala usaha mencari telah dilakukan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Iqbal Ibrahim dalam satu kenyataan malam tadi berkata, pihaknya  menerima laporan daripada anak lelakinya, Mikhael Norman, 33 berkenaan kehilangan ibunya pada 29 November tahun lepas.

Zalina Shaharah, 58 dilaporkan hilang ketika Mikhael cuba menghubunginya sejak 24 November 2021 bagi memaklumkan datuk pengadu telah dimasukkan ke hospital, namun wanita itu tidak dapat dihubungi.

“Pada 29 November 2021, pengadu dan pak ciknya sampai di rumah ibunya di Seksyen 3, Shah Alam dan mendapati kereta ibunya berada di rumah,” katanya.

Katanya pemeriksaan di rumah Zalina yang dipercayai tinggal seorang diri mendapati keadaan di dalam rumah tidak tersusun namun mangsa tiada di rumah.

“Turut ditemui beg duit milik ibu pengadu mengandungi kad pengenalan, lesen memandu, kad bank, kad kredit, wang tunai RM600 serta kunci kereta,” katanya.

Beliau berkata segala usaha mencari telah dilakukan namun gagal menemui wanita itu.

Katanya polis membuat hebahan kepada orang awam untuk membantu siasatan dengan ciri-ciri mangsa adalah berketinggian 158 sm, berat 60kg, berkulit hitam manis dan berbadan kurus.

Orang ramai boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Kes Sarjan Sabturia Lorong atau Balai Polis Seksyen 6 Shah Alam di talian 03-55194622 jika mempunyai maklumat. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.