Tamat kerja kontraktor projek lewat jadual langkah terakhir – Timbalan Menteri

Spread the love

KUALA LUMPUR, 18 Julai: Kerajaan sentiasa mengambil langkah membantu kontraktor menyiapkan projek termasuk membenarkan mereka memohon Pelaksanaan Syarat Perubahan Harga (VOP) bagi memastikan kelangsungan kontraktor yang terjejas akibat kenaikan harga bahan binaan.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Arthur Joseph Kurup berkata kerajaan memahami perkara itu dan menamatkan kerja kontraktor yang terlibat dengan projek lewat jadual atau projek ‘sakit’ adalah langkah terakhir yang diambil kerajaan.

“Kerajaan sangat memahami bahawa antara faktor utama projek lewat jadual adalah kerana kenaikan harga bahan binaan, selain memberikan lanjutan masa Extension of Time (EOT), VOP kita akan memastikan penamatan adalah langkah terakhir kepada kontraktor terbabit,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) mengenai langkah Kementerian Kerja Raya dalam membantu nasib kontraktor yang berdepan risiko ditamatkan kerja akibat projek lewat jadual dilaksanakan oleh mereka.

Menjawab soalan asal daripada Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan), Joseph berkata sehingga 30 Jun, 84 projek dikategori lewat jadual berbanding 696 bilangan projek kerajaan dalam pembinaan secara keseluruhan yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya, iaitu bersamaan 12 peratus.

Beliau berkata selain kenaikan kos bahan binaan, faktor luar jangka lain turut menyumbang kepada kelewatan siap projek itu antaranya masalah gangguan rantaian bekalan bahan binaan, masalah kekurangan tenaga akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mulai Mac 2020 dan bencana banjir pada 2021, yang turut menyebabkan projek swasta terjejas.

Kerajaan sebelum ini bersetuju untuk melaksanakan syarat bagi perubahan harga atau VOP untuk memastikan projek kerajaan tidak terjejas dan dapat disiapkan mengikut jadual.

“Syarat dan kaedah pengiraan VOP dalam kontrak kerja ini berkuat kuasa mulai 1 Jan 2021 hingga 30 Jun 2022. Senarai bahan binaan yang termasuk dalam pekeliling ini ialah Besi Bertetulang, ‘Crushed Aggregate’ (Crusher Run), ‘Mild Steel Pipe’ (Paip Air dan Paip Pembentung) dan ‘Copper’.

“Bagi meringankan lagi bebanan pemain industri binaan, Perdana Menteri pada 14 Julai lepas mengumumkan kelulusan penambahan 11 lagi bahan binaan dalam pelaksanaan syarat VOP, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 15 bahan binaan yang diluluskan,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.