Sarawak pastikan rancangan pembinaan rangkaian jalan raya penuhi keperluan masa depan

Spread the love

KUCHING, 18 Julai: Kerajaan Sarawak sedang mengambil pelbagai langkah bagi memastikan rancangan-rancangan pembinaan rangkaian jalan raya dalam negeri dapat memenuhi keperluan kelancaran trafik dalam jangka masa panjang.

Timbalan Premier juga Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata jumlah trafik kini dilihat meningkat dengan ketara sedangkan beberapa jalan utama negeri dibina berdasarkan kepada rancangan yang dibuat sejak 40 tahun lepas.

“Ada pelbagai pilihan yang boleh diambil seperti pembinaan jejambat, laluan bawah tanah, memasang lampu isyarat trafik dan sebagainya, bergantung kepada keadaan di setiap kawasan. Kita perlu menggunakan pelbagai pilihan yang kita ada dalam perancangan untuk keperluan masa depan, misalnya 50 tahun akan datang,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melawat kerja-kerja penukaran lima bulatan kepada persimpangan lampu isyarat di sepanjang Lebuhraya Kuching-Samarahan dekat sini hari ini, beliau berkata kajian sewajarnya perlu dijalankan sebelum sebarang pilihan boleh dimuktamadkan.

“Kita kaji cadangan terlebih dahulu, jalan raya kita yang sesak bukan hanya di bandar raya Kuching, tapi di seluruh negeri, trafiknya semakin meningkat. Ramai kini yang mampu membeli kenderaan, sebaliknya jalan raya kita dibina 30 atau 40 tahun lepas. Ini adalah gambaran kesejahteraan yang dinikmati oleh rakyat,” katanya.

Uggah berkata kontraktor dilantik bagi meneruskan kerja-kerja penukaran lima bulatan menjadi persimpangan lampu isyarat di sepanjang lebuh raya itu, dan ia dijangka akan disiapkan dalam masa 15 bulan.

Menurutnya kontraktor itu telah memulakan kerja-kerja mereka dan telah memaklumkan kepada kementerian mengenai rancangan mereka untuk memperoleh peralatan lampu isyarat yang diperlukan, manakala Jabatan Kerja Raya Sarawak (JKR Sarawak) akan memastikan pelan itu dilaksanakan.

“JKR akan menyediakan garis masa untuk kerja-kerja diteruskan secara progresif dan jabatan akan memantau ini sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

Uggah berkata projek penukaran bulatan itu menjadi kontroversi kerana pembinaannya tertangguh, yang membangkitkan kekecawaan bukan sahaja dalam kalangan orang ramai tetapi juga kepada kerajaan Negeri.

“Kerajaan Sarawak memutuskan untuk melantik kontraktor ‘penyelamat’ yang menjadi strategi kami sekiranya ada projek ‘sakit’ supaya ia dapat disiapkan seperti yang dijadualkan,” katanya sambil menambah bahawa beliau akan menyemak sendiri kemajuan kerja dari semasa ke semasa. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.