Ganti segera kontraktor terlibat projek ‘sakit’

Spread the love

KUCHING, 18 Julai: Kontraktor yang terlibat dalam senarai projek sakit di Sarawak akan digantikan dengan segera.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata tindakan tersebut adalah termasuk melantik kontraktor penyelamat.

“Kontraktor-kontraktor yang terlibat dalam senarai projek sakit akan digantikan dengan segera bagi memastikan kelancaran pelaksanaan projek-projek rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian setelah meninjau projek pembinaan bulatan pertama di Jalan Kuching-Samarahan di sini hari ini.

Menurutnya tindakan tersebut diambil susulan arahan yang dikeluarkan sebelum ini oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mahu agar langkah susulan dilaksanakan secepat mungkin terhadap projek-projek sakit.

“Isu projek sakit yang melibatkan pembangunan di Sarawak sering kali berlaku namun tidak dapat dielak.

“Saya berharap rakyat Sarawak dapat memahami punca kelewatan pembinaan yang dihadapi.

“Kami akan terus memantau perkembangan projek seperti ini dari masa ke masa bagi memastikan projek ini dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan seperti yang diarahkan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg,” katanya.

Tambahnya bulatan pertama lebuh raya Kuching-Samarahan yang turut tersenarai sebagai projek sakit tersebut dijangka disiapkan dalam  tempoh 15 bulan seperti yang ditetapkan sebelum ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.