Dasar Penjimatan Negara tidak jejas projek pembangunan yang diurus Sarawak

Spread the love

KUCHING, 18 Julai: Kebanyakkan projek pembangunan yang sedang dilaksanakan di negeri ini adalah di bawah peruntukan kerajaan negeri Sarawak.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata projek-projek tersebut tidak terjejas susulan pengumuman Dasar Penjimatan Negara yang sedang dibuat kerajaan persekutuan.

“Kebanyakan program pembangunan adalah di bawah peruntukan kerajaan negeri jadi ia tidak terkesan oleh sebarang dasar yang diputuskan oleh kerajaan persekutuan.

“Sebarang dasar yang diputuskan tidak akan menganggu projek-projek yang sedang dibangunkan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa lawatan tapak di Jejambat Batu 6 di sini hari ini.

Sebelum ini Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan dasar tersebut dan menetapkan mana-mana projek yang belum dilaksanakan akan ditangguhkan atau dibatalkan sebagai inisiatif penjimatan perbelanjaan dan penstabilan ekonomi negara.

Tambah Uggah lagi, hanya projek baharu sahaja yang akan terkesan dengan dasar tersebut yang kebanyakkannya masih belum dimulakan dan berdepan masalah teknikal.

“Apa yang dimaksudkan adalah projek pembangunan yang masih belum bermula atau sedang menghadapi masalah termasuk isu tanah dan kontraktor,” katanya.

Mengulas mengenai projek Jejambat Batu 6 yang dilaksanakan di bawah Projek Lebuh Raya Pan Borneo itu, Uggah menjelaskan projek tersebut dijangka siap sepenuhnya pada hujung bulan ini.

Jejambat tersebut ketika ini sedang dalam proses pelebaran dan penindanan jalan, pemasangan paip air hujan jejambat, pemasangan papan tanda dan penandaan jalan. – TVS

Tags: #bm

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.