Anak Orang Asli bermata biru curi tumpuan

Spread the love

TAPAH, 18 Julai : Kanak-kanak Orang Asli, Rafizal Baharom, 11, mencuri tumpuan apabila memiliki sepasang mata berwarna biru yang dikurniakan sejak lahir.

Anak bongsu daripada dua beradik daripada suku kaum Semai itu yang juga Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu, sering mendapat perhatian daripada warga sekolahnya yang terpesona dengan keunikan matanya dan selalu diajak bergambar.

Ibunya Roshayati Bahmiri, 36, berkata beliau, abang dan anak sulungnya Rafizi, 14, juga memiliki warna biru namun pada sebelah mata sahaja dan menolak tanggapan orang ramai bahawa anugerah itu diperoleh hasil perkahwinan campur atau mempunyai keturunan yang bermata biru.

“Ramai yang bertanya adakah saya berkahwin dengan ‘mat saleh’ dan pelik dengan kurniaan mata seperti ini. Saya hanya menjawab dengan tenang bahawa ini adalah anugerah daripada Allah untuk kami sekeluarga,” kata pekerja pembersihan di sebuah sekolah itu ketika ditemui di rumah mereka di Kampung Batu 19, kira-kira 100 kilometer (km) dari Ipoh.

Beliau berkata Rafizal mula belajar bahasa isyarat ketika berusia sembilan tahun dan kini menetap di asrama Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas, Chemor di Ipoh.

Menurutnya, walaupun terpaksa berjauhan, usaha ini penting demi membaiki kekurangan Rafizal dari segi pertuturan dan pendengaran sekali gus dapat menguasai bahasa isyarat agar mudah untuk berkomunikasi.

Seperti kanak-kanak lain, Rafizal seorang anak yang aktif bermain dan melakukan hobi pada masa lapang dengan memancing di kawasan rumah bersama ayahnya, Baharom Bangal, 35, yang bertugas sebagai pembantu awam di pejabat Tanah dan Galian, Tanah Rata. 

Menurut ibunya lagi, Rafizal mendapat Bantuan Kanak-Kanak (BKK) daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan bagi meringankan bebannya untuk perbelanjaan berkaitan sekolah.

Dalam pada itu, guru kelasnya A. Tain Moli berkata Rafizal merupakan seorang pelajar yang cemerlang bukan sahaja dalam bidang akademik malah bidang sukan dan baru-baru ini beliau menyertai acara lontar peluru untuk Majlis Sukan-Sukan Daerah (MSSD). 

“Walaupun dia mempunyai kekurangan untuk bercakap dan mendengar, Rafizal mahir menggunakan bahasa isyarat yang dipelajarinya. Kami kagum dengan kesungguhannya,” katanya.

Kisah mata biru Rafizal sebelum ini mendapat tumpuan menerusi hantaran Facebook milik Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) yang rata-rata netizen memuji keistimewaan dan kelebihan dimiliki kanak-kanak comel tersebut. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.