Seorang lagi meninggal dunia, polis sahkan kemalangan berpunca lumba haram

Spread the love

GEORGE TOWN, 17 Julai : Angka kematian akibat kemalangan jalan raya membabitkan ‘kumpulan besar’ penunggang motosikal di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu di sini awal pagi tadi bertambah apabila seorang lagi dilaporkan meninggal dunia.

Muhammad Harith Zikri Yusnizar, 17, menghembuskan nafas terakhir ketika dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) di sini.

Tiga yang dilaporkan terkorban di lokasi kejadian ialah Muhammad Eizreel Muhamad Roszaidi, 25; Muhammad Shazwan Hakim Mohd. Abdul Sani, 22 dan Ahmad Haikal Naif Ahmad Nazrul, 19.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, setakat ini tujuh orang mangsa telah dikenal pasti terlibat dalam kemalangan berkenaan.

“Tiga maut di tempat kejadian, manakala seorang lagi ketika menerima rawatan di zon merah HPP.

“Ketika ini, tiga mangsa masih menerima rawatan di HPP yang mana seorang mangsa berada di zon merah dan dua lagi di zon kuning,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, Soffian berkata, siasatan polis mendapati kemalangan kira-kira pukul 4 pagi itu melibatkan beberapa buah motosikal disyaki terlibat dalam aktiviti lumba haram.

“Beberapa penunggang motosikal dipercayai telah hilang kawalan ketika di lokasi kejadian dan merempuh antara satu sama lain.

“Dua buah kereta iaitu jenis Perodua Myvi dan Proton Waja turut dirempuh dari arah belakang oleh kumpulan penunggang motosikal berkenaan dalam insiden tersebut,” katanya lagi.

Terdahulu, TVS melaporkan tiga terbunuh, manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan membabitkan penunggang motosikal di berkenaan awal pagi tadi. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.