Sabah rancang perluas penyertaan Regatta Lepa

Spread the love

SEMPORNA, 17 Julai : Sabah merancang untuk menganjur Pesta Regatta Lepa pada skala lebih besar dengan membuka penyertaan kepada negara luar yang mempunyai hubung kait dengan kebudayaan kaum Bajau pada tahun akan datang.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, selain di Pantai Timur Sabah, terdapat juga masyarakat di negara lain yang mempunyai kebudayaan hampir sama.

“Pada tahun hadapan perlu kita wujudkan hubungan antara negara lain yang terlibat dengan lepa atau perahu ini agar lebih meriah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Acara Sukan Laut, Perarakan Lepa Cantik dan Lepa Berhias sempena Regatta Lepa 2022 di Dataran Lepa, di sini hari ini.

Menurutnya, bagi memudahkan perancangan itu, pihaknya akan menetapkan pesta air terbesar kaum Bajau itu diadakan pada April setiap tahun.

Sementara itu, Jafry memberitahu, kerajaan negeri sedang dalam proses untuk mewujudkan satu lagi perkampungan budaya bagi memperkenalkan keunikan lebih 30 etnik di Sabah sekaligus tarikan baharu sektor pelancongan.

“Kita telah membuat permohonan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk kelulusan.

“Tempat untuk pembinaan akan ditentukan kemudian,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.