Bank Islam lancar Be U, bank digital berasaskan teknologi awan sepenuhnya

Spread the love

KUALA LUMPUR, 17 Julai: Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) telah melancarkan Be U, sebuah bank digital berasaskan teknologi awan sepenuhnya.

Menggunakan teknologi pertama seumpamanya, penyelesaian natif awan (cloud-native solution) ini dijangka menjadi batu asas kepada semua bank digital akan datang di Malaysia, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ia berkata aplikasi perbankan serba baharu ini telah tersedia kepada orang ramai sejak pertengahan Jun tahun ini dan menyasarkan antara 350,000 dan 400,000 muat turun dan pengguna aplikasi Be U dalam tempoh 12 bulan pertama operasinya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Mohd Muazzam Mohamed berkata Be U adalah pencetus perubahan bagi Bank Islam dan industri perbankan Islam dengan memanfaatkan landskap teknologi kewangan (fintech) yang pesat berubah.

“Melalui Be U, Bank Islam beralih fokus daripada mementingkan produk kepada sifat mengutamakan pelanggan dalam membentuk produk yang memenuhi keperluan mereka.

“Usaha ini sejajar dengan pelan strategik perniagaan lima tahun Bank Islam (LEAP25) yang bermatlamat untuk meletakkan bank ini sebagai peneraju penyelesaian kewangan Syariah-ESG (alam sekitar, tanggungjawab sosial dan tadbir urus) lengkap dengan kepimpinan dalam perbankan digital dan kewangan sosial menjelang tahun 2025,” katanya.

Mohd Muazzam berkata Be U disasarkan kepada generasi muda, menawarkan akaun simpanan yang membenarkan baki sifar, fungsi pindahan dana dan ciri “Nest” yang membantu pengguna menabung untuk matlamat tertentu.

Beliau menambah dalam tempoh 12 bulan akan datang, fungsi atau tawaran baharu dalam aplikasi Be U akan diperkenalkan secara berperingkat  termasuk deposit bertempoh, pasaran gig, kad debit, pengurusan kewangan peribadi, pembiayaan mikro, takaful mikro dan banyak lagi.

“Kami mahu menjadikan Bank Islam sebagai sebuah organisasi yang lebih tangkas dengan menggunakan cara kerja baharu, menarik bakat dengan set kemahiran baharu, menggunakan teknologi terkini serta memanfaatkan data dan automasi yang  akan membolehkan kami memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan.

“Be U memfokuskan kepada segmen pelanggan yang tidak menjadi tumpuan oleh Bank Islam iaitu menarik golongan pengguna yang masih di peringkat awal kehidupan bekerja mereka.

“Apabila kedudukan kewangan pelanggan ini lebih stabil dan mereka memerlukan produk dan instrumen kewangan yang lebih kompleks, Be U akan berada bersama mereka dan menawarkan pelbagai produk dan perkhidmatan Bank Islam,” katanya.

Pengguna boleh memuat turun aplikasi Be U Bank Islam secara percuma melalui Google Play Store dan Apple App Store.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Be U, pelanggan boleh melayari laman www.getbeu.com atau mengikuti akaun media sosial Be U di Facebook @beubybankislam dan Instagram @getbeu. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.