Abang Johari beri penghargaan kepada Jaul Samion

Spread the love

KUCHING, 17 Julai : Premier Sarawak , Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberi penghormatan kepada Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Amar Jaul Samion yang bersara daripada perkhidmatan awam negeri selepas 42 tahun berkhidmat.

Beliau berkata apabila Ketua Menteri Sarawak keempat , Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud mengamanahkannya untuk mengetuai kementerian baharu bagi menggalakkan perindustrian di negeri itu pada 1987, Jaul adalah antara kakitangan Unit Perancang Negeri (SPU) yang terlibat membantu.

“Kerja ini bukan senang kerana dia (Jaul) baharu, masih mentah dan selepas itu kita terpaksa cuba hendak ‘menjual’ Sarawak supaya pelabur dapat datang untuk memulakan industri mereka,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam perpisahan Jaul malam tadi.

Katanya, Jaul telah menunjukkan komitmen yang menyumbang kepada kejayaan memikat pelaburan asing termasuk dari Toko Electronics dan Taiyo Yuden dari Jepun, serta syarikat Amerika Syarikat terkenal dengan pengeluaran papan induk.

“Kami berjaya memulakan kemajuan perindustrian, bermula dengan Sejingkat, Samajaya, Kemena dan Tanjung Manis (kawasan perindustrian). Juga Kidurong (zon perindustrian di Bintulu), kami bermula bersama Petronas untuk loji LNG. Kami berjaya meyakinkan Petronas dan Shell untuk menubuhkan SMDS (Shell Middle Distillates Synthesis) loji pertama seumpamanya di dunia di Bintulu,” katanya.

Abang Johari berkata selepas beliau menjadi Premier Sarawak pada 2017, negeri itu telah dilanda pandemik COVID-19 tiga tahun kemudian yang menuntut perhatian dan untuk pulih daripada keadaan berkenaan, beliau terpaksa menghubungi Jaul pada tengah malam.

“Saya menghubungi Jaul (kadang kala pada tengah malam) untuk mendapatkan laporan (terkini mengenai COVID-19) dan keduanya, kami perlu merangka Strategi Pembangunan Pasca COVID-19. Saya meminta Jaul supaya memanfaat kepakaran daripada daripada perkhidmatan awam dan sektor swasta untuk kita merangka strategi bagi memulihkan kembali ekonomi kita,” katanya.

Menurut beliau, Jaul telah melakukan yang terbaik dalam membantu kerajaan menyesuaikan ekonomi ke arah mempromosikan agenda digital Sarawak walaupun ini adalah hala tuju baharu dalam pembangunan negeri.

“Anda telah berkhidmat selama 42 tahun dan saya ingin mengucapkan terima kasih atas apa yang telah anda lakukan (untuk Sarawak),” tambahnya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.