Usaha asah bakat pelajar Sarawak bidang STEM dan TVET diperhebatkan – Dr. Hazland

Spread the love

KUCHING, 16 Julai : Kerajaan Sarawak akan meneruskan pelbagai program untuk memperkasakan pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) di kalangan belia dan pelajar di negeri ini.

Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar negeri, Dr. Hazland Abang Hipni berkata, usaha berkenaan dilaksanakan menerusi program anjuran Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak (TEGAS) yang mengadakan siri jelajah bagi mempromosikan bidang pengajian berkenaan sempena ulang tahun penubuhannya yang ke-10.

Katanya, program yang dinamakan Siri Jelajah Jerayawara itu juga bertujuan untuk mempromosikan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) kepada golongan pelajar.

“Sejak ditubuhkan pada 28 Febuari 2012, TEGAS berjaya menarik golongan belia untuk menceburi bidang pendidikan TVET.

“Peningkatan ketara dapat dilihat menerusi bilangan kemasukan pelajar ke Institut Latihan Teknikal di Sarawak pada 2016 dengan jumlah seramai 17,334 orang,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri siri jelajah berkenaan yang berlangsung di Penview Convention Center, Demak Laut di sini hari ini.

Beliau memberitahu, sebelum ini siri jelajah berkenaan telah diadakan di Serian, Sri Aman, Debak, Betong, Serikei, Bintangor, Kapit, Balingian, Marudi dan Limbang dan berakhir di Demak Laut pada hari ini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.