Sarawak lokasi pertama program Jalinan Aidiladha Bank Rakyat

Spread the love

KUCHING, 16 Julai : Sarawak menjadi lokasi pertama program Jalinan Aidiladha anjuran Bank Rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Mohammad Hanis Osman berkata, program berkenaan melibatkan pengagihan pek daging korban kepada seramai 7,510 individu termasuk asnaf di lapan lokasi di seluruh negara.

Katanya di Sarawak, program sembelihan dan agihan berlangsung di Masjid Solahuddin Al-Ayubbi, Kem Penrissen yang melibatkan sebanyak 10 ekor lembu.

“Di seluruh negara, kita sumbangkan 616 ekor lembu untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir Program Ibadah Korban Bank Rakyat Sarawak di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Staf Markas 3 Briged yang mewakili Panglima 3 Briged, Leftenan Kolonel Ameruddin Razali.

Sementara itu, Mohammad Hanis memberitahu, melalui Akaun Simpanan-i Tabung Qurban yang diperkenalkan bank berkenaan, ia membolehkan pelanggan memilih melaksanakan simpanan bulanan atau sekaligus bagi memudahkan ibadah korban.

“Pendeposit menyimpan wang di Bank Rakyat dalam akaun berkenaan dan apabila mencukupi, mereka memilih untuk melakukan ibadah korban, kami akan memudahkannya,” katanya.

Jelasnya, ini kerana bank berkenaan mempunyai Jabatan Syariah yang mampu mempermudah ibadah korban.

Pada majlis berkenaan, Bank Rakyat turut menyampaikan sumbangan keseluruhan RM10 000 kepada 50 asnaf dan 200 penerima yang meliputi keperluan asas seperti beras dan minyak masak.

Turut hadir bagi membantu agihan daging korban berkenaan ialah sukarelawan dari TVS Prihatin. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.