Polis parah dilanggar pacuan empat roda penjenayah

Spread the love

ALOR SETAR, 16 Julai : Seorang anggota polis tidak sedarkan diri akibat kecederaan parah di bahagian kepala selepas dilanggar kenderaan pacuan empat roda dipandu penjenayah dalam kejadian di Jalan Kulim-Serdang dekat Kulim, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kulim Supt Mohd Redzuan Salleh berkata dalam kejadian kira-kira 9.15 pagi, anggota polis berusia 31 tahun bertugas di Balai Polis Kulim Hi-Tech itu dilanggar ketika sedang mengejar suspek yang menaiki kenderaan jenis Nissan Frontier.

“Anggota polis dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB) itu telah dihimpit oleh kenderaan suspek sehingga menyebabkan berlakunya kemalangan. Anggota berkenaan telah dibawa ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

“Suspek yang berusia 40-an berasal dari Sungai Petani itu melarikan diri namun berjaya ditangkap di kawasan Butterworth, Pulau Pinang dan ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis ganja THC atau Terta Hydrocannibol,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau berkata pemeriksaan lanjut mendapati kenderaan suspek telah diubah suai dengan meletakkan tangki minyak di bahagian belakang pacuan empat roda itu.

“Suspek yang dipercayai terlibat dalam kegiatan penyeludupan minyak telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulim dan akan direman esok. Kes disiasat mengikut Seksyen 307/166 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kertas siasatan juga telah dibuka mengikut Seksyen 42(1) dan 44 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kecederaan parah serta Seksyen 6(1) akta sama,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.