Penyamun kedai serbaneka di Tabuan Jaya diberkas dalam tempoh 24 jam

Spread the love

KUCHING, 16 Julai : Seorang lelaki yang dipercayai menyamun sebuah kedai serbaneka di bandar raya ini pada Rabu lepas dicekup polis sehari selepas melakukan jenayah berkenaan.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner (ACP) Ahsmon Bajah berkata, pihaknya berjaya menangkap suspek berusia 26 tahun itu pada pukul 2.15 petang Khamis lepas.

Katanya, ketika ditahan di sekitar Kuching, polis turut merampas wang tunai, tin minuman keras dan rokok yang dipercayai disamun oleh suspek di sebuah kedai serbaneka di Tabuan Jaya.

“Pemeriksaan mendapati suspek turut mempunyai dua rekod siasatan lampau.

“Susulan penangkapan ini, polis berjaya menyelesaikan tiga kes samun yang melibatkan premis serbaneka di kawasan bandar raya ini dan juga Samarahan,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau memberitahu, suspek juga dipercayai menyamun kedai sama pada 16 Jun lepas.

Ujarnya, lelaki itu kini direman selama enam hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.