Malaysia juara Piala AFF Bawah 19

Spread the love

JAKARTA, 15 Julai : Malaysia muncul juara Kejohanan Bola Sepak Piala AFF Bawah 19 tahun dengan menewaskan Laos 2-0 di Bakasi, Indonesia, di sini malam tadi.

Hujan ketika aksi final tidak ‘mendinginkan’ semangat luar biasa barisan muda negara untuk menjulang kejuaraan kedua sejak 2018 apabila menampilkan permainan kemas sekaligus menafikan impian menggunung Laos untuk membawa pulang piala.

Beraksi di Stadium Patriot Candrabhaga, bumi Indonesia terus menjadi ‘gelanggang bertuah’ buat Harimau Muda apabila sepakan percuma Faiz Amer Runnizar membolosi gawang Laos yang dikawal oleh Phounin Xayyasone pada minit ke-14.

Keputusan itu kekal sehingga separuh masa pertama berakhir walaupun Laos dilihat meningkatkan tempo permainan dalam usaha mereka untuk mencari gol penyamaan sebelum itu.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Hassan Sazali Mohd Waras terus menguasai permainan apabila Aliff Izwan Yuslan menjadikan kedudukan 2 -0 pada minit ke-76.

Skor berkenaan dipertahankan Malaysia sehingga wisel penamat dibunyikan.

Ditemui selepas perlawanan, Hassan Sazali berkata, piala yang menjadi idaman pasukan remaja di Asia Tenggara yang berjaya dicapai oleh barisan pemainnya untuk ‘dipersembahkan’ kepada rakyat Malaysia.

“Syukur Alhamdullilah, kejayaan ini seperti yang kita harapkan.

“Kejayaan ini bukan hanya untuk kami tetapi untuk seluruh rakyat Malaysia yang sentiasa mengikuti dan memberi sokongan kepada pasukan kita,”katanya.

Pada 2018, ketika kejohanan sama berlangsung di Surabaya, Indonesia, Malaysia turut muncul juara dengan menewaskan Myanmar 4 -3. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.