Jajaran ART akan disambung ke Gedong

Spread the love

GEDONG, 16 Julai : Jajaran tambahan bagi Projek Transit Aliran Autonomi (ART) akan memasukkan laluan baharu iaitu Gedong.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan berkenaan merupakan antara usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan pembangunan jangka masa panjang di Sarawak.

Ujar beliau, berikutan projek ART yang akan dibina itu menghubungkan Serian dengan stesen terakhirnya di Kampung Rembus, Kota Samarahan, akan terdapat jaringan yang ‘terputus’ membabitkan laluan berkenaan.

“Sehubungan itu, saya berpendapat, lebih baik kita tambah satu laluan ART (menuju ke Gedong),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan dan Program Jualan Terus Dari Ladang Keluarga Malaysia Negeri Sarawak 2022.

Menurut Abang Johari, projek tersebut bakal dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun yang akan datang.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin menjelaskan, projek ART di Kuching dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Ekonomi Sarawak (SEDC), iaitu Sarawak Metro Sdn. Bhd.

Laluan projek bermula di Hikmah Exchange , Serian hingga ke Kampung Rembus di Kota Samarahan sepanjang 28 kilometer (km) dengan memiliki keseluruhan 14 stesen. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.