PERKESO : Bayar semula atau berdepan tindakan

Spread the love

KUCHING ,15 Julai : Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menggantung bayaran Program PenjanaKerjaya berjumlah RM423 juta setelah mengesan berlaku tuntutan palsu oleh majikan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, pihaknya akan memberi kerjasama penuh kepada siasatan yang dilakukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Berkenaan langkah penggantungan, beliau memberitahu, tindakan itu diambil berdasarkan pemantauan berterusan oleh Bahagian AntiFraud, Etika & Integriti (AEFI) agensi itu.

“Risikan sejak Mei lalu mendapati terdapat majikan yang menyeleweng dana ini.

“Perkeso amat menekankan nilai integriti dalam pengagihan bantuan kewangan kerajaan kerana ia melibatkan dana awam,”katanya menerusi kenyataan media di Kuala Lumpur di sini hari ini.

Sehubungan itu, Mohammed Azman berkata, majikan yang telah mengemukakan permohanan palsu diminta membuat bayaran balik secara sukarela sebelum tindakan diambil.

“Perkeso memandang serius isu penyelewengan ini kerana bantuan kewangan kerajaan bertujuan untuk meringankan beban pihak yang layak serta benar-benar memerlukan mengikut syarat ditetapkan,”katanya.

Sementara itu, beliau turut memaklumkan Perkeso telah membuat bayaran sebanyak RM2.34 bilion kepada 45,379 majikan bagi menempatkan 327,789 pencari kerja ke dalam pekerjaan melalui PenjanaKerjaya sehingga kini. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.