JTS Sarawak menang anugerah di California

Spread the love

KUCHING, 15 Julai : Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak memenangi Anugerah Pencapaian Khas (SAG) dalam Sistem Maklumat Geografi (GIS) pada Persidangan Pengguna ESRI 2022 di San Diego, California, Amerika Syarikat semalam.

Unit Perhubungan Awam JTS menerusi kenyataan media memaklumkan, anugerah berprestij itu diterima oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan daripada Presiden ESRI, Jack Dangermond.

Persidangan Pengguna ESRI turut meraikan beberapa inisiatif inovasi digital yang paling berjaya merentasi pelbagai industri di seluruh dunia.

Lebih membanggakan, JTS merupakan antara pemenang global.

JTS juga menerima anugerah yang mengiktiraf eLASIS dan mobile LASIS yang mewujudkan pejabat maya sehenti untuk mengubah sistem penyampaian perkhidmatan jabatan itu secara digital dengan misi ‘Membawa Pejabat ke Setiap Pintu’.

“Dengan keluasan tanah 12.4 juta hektar serta populasi bertaburan seramai 2.9 juta di 12 bahagian, 45 daerah dan 24 mukim, eLASIS menyediakan maklumat penting mengenai tanah, lokasi geografi dan sempadan kadaster.

“Selain itu, ia disepadukan dengan GPS dan peta asas pengimejan untuk menyediakan perkhidmatan pantas, tepat dan boleh dipercayai melalui platform yang selamat dan mudah digunakan serta boleh diakses di mana-mana, pada bila-bila masa,” kata kenyataan berkenaan.

Antara anugerah lain yang pernah diterima JTS adalah Anugerah Geo-Innovation ESRI Malaysia 2021, Anugerah Inovasi Perkhidmatan Awam 2020, Anugerah Persatuan Kreativiti & Inovasi Malaysia 2020 dan Anugerah Kecemerlangan Geospatial Dunia.

Turut mengiringi Awang Tengah ialah Timbalan Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Len Talif Salleh, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan (MINTRED), Datuk Mohd Naroden Majais, Pengurus besar Lembaga Multimedia Sarawak (SMA), Dr Zaidi Razak, Pengarah Unit Pemodenan Perkhidmatan Sarawak (UPPAN), Michael Ronnie Langgong, dan Pemangku JTS, Awang Zamhari Awang Mahmood. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.