Jepun bakal adakan Istiadat Pengebumian Negara untuk Shinzo Abe

Spread the love

TOKYO, 15 Julai : Jepun akan mengadakan Istiadat Pengebumian Negara pada musim gugur untuk Shinzo Abe yang maut ditembak minggu lalu ketika berkempen, kata Perdana Menteri Fumio Kishida pada Khamis.

Majlis peringatan itu sebagai penghormatan kepada Abe terhadap “kepimpinan dan kecemerlangan” yang ditunjukkannya sepanjang menjadi Perdana Menteri untuk tempoh lapan tahun dan lapan bulan dan acara berkenaan dijangka dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan, lapor Agensi Berita Kyodo.

Baca > > > Bekas Perdana Menteri Jepun ditembak

Baca > > > Shinzo Abe meninggal dunia selepas enam jam kritikal

Sebelum itu pada Selasa majlis pengebumian yang hanya dihadiri waris terdekat dan sahabat handai  telah diadakan. 

Istiadat Pengebumian Negara untuk pemimpin jarang diadakan. 

Kali terakhir Jepun mengadakan majlis peringatan sedemikian pada 1967 untuk mendiang Shigeru Yoshida, yang berkhidmat sebagai perdana menteri ketika kebangkitan negara ini selepas Perang Dunia II. 

“Dengan pengebumian negara, kami bersedih dengan (kematian) bekas Perdana Menteri Abe dan kami berazam untuk mempertahankan demokrasi dan sama sekali tidak akan tunduk kepada keganasan,” kata Kishida pada sidang media.

Baca > > > Abe dipercayai ada kaitan dengan kumpulan tertentu, kata penyerangnya

Kematian Abe sejurus sebelum pemilihan Ahli Dewan Undangan Negeri pada Ahad menggemparkan negara yang terkenal dengan kawalan senjata api yang ketat dan keganasan politik jarang berlaku.

Kishida berkata Abe layak menerima pengebumian negara kerana sumbangan besarnya kepada Jepun, termasuk memimpin ke arah pemulihan daripada tragedi gempa bumi dan tsunami yang melanda pada Mac 2011.

Tragedi gempa dan tsunami itu turut mencetuskan insiden nuklear yang disifatkan terburuk sejak Chernobyl.

Mendiang juga memainkan peranan penting dalam memulihkan ekonomi Jepun dan meneruskan diplomasi di bawah Pakatan Jepun – Amerika Syarikat.

Kepimpinan mendiang turut mendapat pujian pemimpin asing dan masyarakat antarabangsa dan kematiannya akibat tindakan “keganasan” amat mengejutkan dan menerima ucapan takziah dari dalam dan luar negara, kata Kishida.

Keputusan Kabinet untuk mengadakan pengebumian negara tidak memerlukan kelulusan Parlimen, kata Kishida.

Abe, yang meletak jawatan sebagai perdana menteri pada 2020 kerana masalah kesihatan, adalah seorang tokoh politik yang berpengaruh.

Pada sidang media sama, Kishida turut menjawab soalan mengenai tahap kawalan keselamatan di Nara sehingga membolehkan seorang lelaki bersenjata dengan mudah menghampiri dan menembak bekas perdana menteri itu dari belakang.

“Terus terang saya katakan kawalan keselamatan (Abe) bermasalah. Saya telah mengarahkan siasatan menyeluruh dan penambahbaikan perlu dilakukan,” kata Kishida.  

Agensi Polis Kebangsaan sedang meneliti insiden itu dan hasilnya dijangka dikeluarkan pada Ogos. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.