Inisiatif baharu bantu rakyat Sarawak miliki rumah akan diumumkan – Michael Tiang

Spread the love

KUCHING, 15 Julai : Kerajaan Sarawak dijangka akan mengumumkan beberapa inisiatif baharu untuk membantu rakyat membeli rumah.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Michael Tiang Ming Tee berkata, pengumuman berkenaan kelak merupakan kesinambungan pelbagai inisiatif yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Sarawak.

Kata beliau, antaranya termasuk pemberian deposit perumahan untuk golongan B40, M40 serta pasangan yang sudah berkahwin dan Program Bantu Sewa selama 36 bulan.

“Kerajaan Sarawak juga telah merangka beberapa program lain yang akan diumumkan dalam masa terdekat, bertujuan untuk membantu rakyat.

“Sekiranya mereka mempunyai masalah untuk membeli rumah, inisiatif ini akan dapat meringankan beban yang ditanggung,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Auditorium Pusat Jantung Sarawak, Kota Samarahan.

Menurutnya lagi, peningkatan harga hartanah yang berpunca daripada beberapa faktor yang turut memberi kesan kepada bakal pembeli rumah di negeri ini.

“Ini termasuklah kadar inflasi, kenaikan harga bahan binaan, masalah kekurangan bekalan serta kos buruh yang meningkat.

“Apa yang boleh kita lakukan ialah terus bekerjasama dengan badan profesional termasuk Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Sarawak (SHEDA) untuk menjalankan program tertentu.

Ujar beliau, beberapa program lain untuk memudahkan pembelian rumah di kalangan rakyat juga kini di peringkat penilaian. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.