Terbuka Singapura: Tze Yong, tiga beregu campuran Malaysia mara ke suku akhir

Spread the love

SINGAPURA, 14 Julai : Pemain badminton perseorangan lelaki Malaysia Ng Tze Yong berjaya melangkah ke peringkat suku akhir dalam aksi sulungnya pada Super 500 Terbuka Singapura di Stadium Tertutup Singapura, hari ini.

Turut menggembirakan peminat badminton negara adalah kejayaan tiga beregu campuran dari Malaysia, Chen Tang Jie-Valeree Siow, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei, dan Goh Soon Huat-Shevon Lai, mempamerkan aksi hebat untuk turut sama melakar kejayaan melangkah mara ke peringkat suku akhir.

Tze Yong jelas menunjukkan kematangan dalam permainannya pada perlawanan hari ini apabila berjaya menewaskan pemain nombor 15 dunia, Lee Cheuk Yiu dari Hong Kong dengan 21-15, 21-13 dalam masa 33 minit.

Dalam perlawanan berikutnya esok pemain ranking ke-47 dunia itu akan berentap dengan pemain nombor enam dunia, Anthony Ginting dari Indonesia, yang telah menewaskan pemain Taiwan Lin Chun Yi dengan 21-12, 19-21, 21-16, dalam perlawanan yang berlangsung lebih sejam.

Merujuk kepada perlawanan esok, Tze Yong berkata beliau akan hanya memberi tumpuan kepada permainannya sahaja, dan tidak akan memikirkan sangat mengenai lawannya.

Terdahulu pasangan Tang Jie-Valeree menampilkan strategi tepat apabila membuat serangan pantas yang mengubah sama sekali corak permainan biasa pasangan Reginald Lee-Ng Tsz Yau, dan akhirnya berjaya menundukkan pasangan dari Hong Kong itu dengan 21-13, 21-7.

Dalam perlawanan suku akhir esok, mereka akan bertemu dengan juara dunia Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand, yang berjaya menempah tiket ke perlawanan suku akhir selepas menewaskan pasangan senegara Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran dengan 22-20, 21-16.

Pasangan di ranking 125 dunia Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei, kemudiannya meneruskan rentak kemenangan Malaysia dengan menundukkan beregu nombor 13 dunia dari Denmark Matthias Christiansen-Alexandra Boje dengan 21-11, 21-19.

“Perlawanan hari ini lebih baik. Kami sudah dapat sesuaikan diri dengan persekitaran di sini, .. termasuk aspek angin, permainan hari ini lebih baik daripada semalam,” kata Pang Ron.

Dalam saingan berikutnya Pang Ron-Ee Wei akan berhadapan dengan Gua Xin Wa-Zhang Shu Xian dari China.

Pasangan profesional Goh Soon Huat-Shevon Lai yang tumpas dalam set pertama kepada pasangan dari Indonesia Rinov Rivaldi-Pitha Haningtyas Mentari dengan 10-21, bangkit dalam dua set berikutnya untuk memenangi perlawanan dengan 21-18, 21-10.

Mereka dijadualkan bertemu dengan beregu pilihan keempat Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong dalam saingan berikutnya.

Bagaimanapun perjalanan pasangan Chan Peng Soon-Cheah Yee See dalam Terbuka Singapura ini berakhir selepas mereka tumpas di tangan pasangan nombor empat dunia Wang Yi Lyu-Huang Dong Ping dari China dengan 18-21, 14-21. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.