Pasangan kekasih didakwa membunuh

Spread the love

KOTA BHARU, 14 Julai : Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemuda di Kampung Gondang, Ketereh di sini Mei lepas.

Maizatul Shima Abdullah, 21, dan Muhammad Zaim Syakir Shaari, 20, hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan bersama di hadapan Majistret Muhammad Fitri Mokhtar.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada mereka kerana kes bunuh adalah di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa dengan niat membunuh sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki bernama Muhamad Fahmi Adli Mat berusia 24 tahun dengan cara menetak tubuh badan mangsa menggunakan parang.

Mereka dituduh melakukan perbuatan itu di kawasan perkuburan lama Islam Kampung Gondang antara pukul 10 malam 14 Mei dan 1 pagi 15 Mei lepas di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Yusnaliza Mohammad Yusoff tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah tidak membenarkan mereka diikat jamin serta menetapkan 26 Okt untuk sebutan semula kes dan laporan forensik. –TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.