Sarawak bekerjasama dengan Singapura tangani isu keselamatan makanan

Spread the love

KUCHING, 12 Julai : Kerajaan Sarawak komited memperkukuhkan sektor keselamatan makanan apabila menjalin kerjasama strategik bidang berkenaan dengan Singapura.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkembangan berkenaan menunjukkan Sarawak ‘membuat persiapan awal’ sekiranya berlaku krisis makanan pada masa hadapan akibat pertambahan penduduk dunia seperti dijangka Oleh Pertubuhan Bangsa – Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, PBB meramalkan bahawa penduduk dunia akan mencecah lapan bilion dengan India bakal menggantikan China sebagai negara yang mempunyai paling ramai penduduk dunia.

“Susulan itu dunia akan menghadapi kesukaran memperoleh makanan pada masa akan datang akibat populasi manusia yang meningkat.

“Sarawak mempunyai tanah yang luas untuk menarik pelabur luar negara yang menghadapi kekurangan tempat untuk menjalankan usaha pertanian untuk datang ke negeri ini.

“Saya percaya Sarawak mempunyai kekuatan dalam hal ini kerana tidak mempunyai masalah dengan isu tanah, hanya perlu diuruskan dengan baik,” katanya.

Abang Johari berkata demikian ketika berucap sempena Majlis Makan Malam Bersama Delegasi Perniagaan Singapura di sini, hari ini.

Menurutnya, pendekatan mewujudkan taman agro di beberapa tempat dapat menyediakan kemudahan kepada para pelabur dari Singapura untuk mengusahakan tanaman mereka di Sarawak.

Sementara itu, Abang Johari memberitahu Sarawak kini turut mengehadkan penggunaan tanah untuk penanaman kelapa sawit kerana mahu menumpukan kepada usaha memperkasakan industri makanan.

“Melalui kerjasama yang sedang dilaksanakan, Sarawak juga mementingkan penggunaan teknologi seperti Internet Kebendaan (IoT) dalam memaksimumkan hasil tanaman petani dan memberi nilai tambah kepada industri makanan,” tambahnya lagi. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.