Konvensyen Persekutuan Ejen Pelancongan India bakal diadakan di Sarawak

Spread the love

KUCHING, 13 Julai : Konvensyen Persekutuan Ejen Pelancongan India (TAFI) 2022 akan diadakan di Sarawak dari 20 hingga 23 September ini dengan penyertaan lebih daripada 700 ahli TAFI dari India.

Sarawak Tourism Board (STB) dalam satu kenyataan pada Rabu memaklumkan, Konvensyen TAFI 2022 akan menyaksikan kerjasama antara Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Tourism Malaysia (TM), STB dan Business Events (BE) Sarawak.

Konvensyen yang bertemakan “Build Back Better (Kembali dengan Lebih Baik)” itu antara lain bertujuan untuk mengukuhkan industri pelancongan dalam menuju ke arah pemulihan ekonomi yang berdaya tahan, dan setiap sesi akan mengetengahkan kemampanan, usaha pemuliharaan, penghijauan dan pelancongan yang bertanggungjawab.

Jawatankuasa Pengurusan TAFI yang melawat Kuching untuk melakukan beberapa pemeriksaan tapak baru-baru ini, turut melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri MTCP, Dato Sri Haji Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abdul Karim dalam pertemuan tersebut telah menyuarakan harapan beliau agar konvensyen itu menjadi pemangkin untuk menarik lebih ramai pengunjung dari India ke Sarawak dalam masa terdekat.

“Tema Konvensyen TAFI tahun ini, ‘Build Back Better’ sangat sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 kami dengan aspirasi Sarawak untuk memperkasakan komuniti dan memastikan persekitaran yang mampan, selepas COVID. Kami berharap dapat menganjurkan acara ini bersama-sama dengan TAFI dengan faktor kelestarian menjadi nadi konvensyen itu,” tambahnya.

Presiden TAFI, Ajay Prakah, berkata Sarawak berpotensi menjadi destinasi popular di pasaran India yang mencari destinasi baharu untuk dilawati.

“Pasaran India sedang berkembang, dan mereka sentiasa mencari destinasi, produk dan pengalaman yang lebih baharu dan Sarawak mempunyai potensi besar untuk menjadi destinasi popular di pasaran India kerana generasi hari ini prihatin terhadap planet, pemuliharaan dan kemampanan

“Dengan sokongan Tourism Malaysia, STB dan BE Sarawak, saya jangka konvensyen ini akan menjadi satu acara yang menarik dan kami tidak sabar menantikannya.” katanya.

TAFI ialah sebuah persatuan yang mewakili Travel Trade di India dengan keahlian seramai 1,400 ahli dari seluruh India.

Majoriti ahli TAFI adalah ejen bertauliah IATA dan menyumbang kepada lebih daripada 75 peratus perniagaan pelancongan luar India. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.