BSMM Sibu sasar 50 penderma organ baharu

Spread the love

SIBU, 13 Julai: Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) cawangan Sibu mensasarkan seramai 50 orang penderma organ baharu pada kempen pengambilan penderma organ yang bakal diadakan pada 16 Julai ini.

Pengerusi penganjurnya, Dr Rachel Teng berkata, kempen itu telah dijadualkan berlangsung mulai jam 8 pagi hingga 12 tengahari di Dewan Wong Soon Kai, BSMM Cawangan Sibu.

Dr Rachel yang juga Timbalan Pengarah Hospital Sibu berkata kempen tersebut dijangka akan dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng Jin Ek bersempena Hari Penderma Dadah Sedunia 2022.

“Kempen tersebut diharapkan mampu meningkatkan kesedaran orang ramai tentang pentingnya menjadi penderma organ selain menderma darah,” ujarnya .

Dalam pada itu, beliau berkata sejak dua tahun lalu, pihak persatuan telah menangguhkan kebanyakan aktiviti tahunannya termasuk Hari Penderma Darah Sedunia bagi tahun 2020 dan 2021 berikutan kekangan pandemik Covid-19.

Satu-satunya aktiviti BSMM Cawangan Sibu semasa pandemik adalah bekerjasama dengan Bank Darah Hospital Sibu dalam mengadakan kempen pengisian dan pengambilan darah.

“Untuk rekod, BSMM Cawangan Sibu telah berjaya mengumpul sebanyak 2438 pain iaitu 1099 pain untuk tahun 2020 dan 1339 pain untuk tahun 2021 bertempat di Pusat Derma Darah, BSMM Cawangan Sibu, Perpustakaan Awam Sibu Jaya, Medan Hotel dan Star Megamall,” ujarnya lagi.

Bagi tahun ini, BSMM Cawangan Sibu juga akan berganding bahu dengan Hospital Sibu untuk menganjurkan Hari Penderma Darah sedunia 2022 pada 16 Julai ini.

Antara pengisian program sempena hari penderma darah sedunia 2022 ialah Majlis Pengiktirafan Penderma Darah 2022.

Dalam majlis itu nanti, penderma yang kerap menderma darah semasa pandemik Covid- 19 layak untuk mendapat pengiktirafan di mana mereka yang berjaya menderma 10 pain darah dan ke atas dan setiap 5 pain akan dijemput untuk menghadiri majlis tersebut.

Setakat ini, BSMM Cawangan Sibu mempunyai kira-kira 750 penderma darah tetap.

Selain mengiktiraf penderma individu, pihaknya juga akan menyampaikan surat penghargaan kepada penganjur derma darah yang aktif.

“Pihak penganjur juga telah memainkan peranan besar dalam usaha memastikan stok darah di Hospital Sibu sentiasa mencukupi sepanjang tempoh pandemik,” tambahnya. – TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.