Transformasi digital pacu Sarawak ke barisan hadapan

Spread the love

KUCHING, 12 Julai : Transformasi digital akan meletakkan Sarawak di barisan hadapan dalam dunia digital.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menerusi pendigitalan segala cabaran global yang kompleks akan dapat ditangani sekaligus membawa Sarawak mencapai hasratnya untuk menjadi negeri maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.

Ujar Abang Johari, terdapat keperluan mendesak di Sarawak untuk meningkatkan produktiviti bagi memastikan daya saing serta pada masa yang sama akan mewujudkan persekitaran yang sihat dan berdaya tahan.

“Visi saya untuk Sarawak ialah menjelang 2030, Sarawak akan maju dengan ekonomi yang berkembang didorong oleh data dan inovasi di mana semua orang menikmati kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan persekitaran yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kongres Kejuruteraan ASEAN Australia 2022 di TEGAS Digital Village di sini hari ini.

Premier Sarawak berkata, langkah ke arah transformasi digital perlu disahut semua pihak termasuk para jurutera, agensi pelaksana, ahli akademik serta ahli teknologi bagi menyediakan ruang untuk inovasi.

Ujarnya, sejak permulaan agenda ekonomi digital pada 2018, Sarawak telah berjaya meningkatkan pembangunan ekonominya melalui transformasi dalam beberapa sektor termasuk pertanian, e-dagang, kewangan, bandar pintar, pelancongan, pembuatan dan juga industri perkhidmatan.- TVS

Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.