Sarawak akan terus tingkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar sekolah

Spread the love

SIBU, 12 Julai : Sarawak akan meneruskan keputusannya untuk menggunakan bahasa Inggeris di samping bahasa Malaysia dalam pentadbirannya, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dr. Annuar Rapaee.

Beliau berkata kerajaan negeri sebenarnya sedang berusaha untuk memastikan pelajarnya mahir dalam bahasa itu bagi membolehkan mereka cemerlang dalam pelajaran dan mempunyai masa depan yang cerah.

“Jika mereka tidak suka bahasa Inggeris biarlah mereka, tetapi bagi kami, kami akan meneruskan usaha kami untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Buku Aktiviti Pelajar dan Bantuan Pembelajaran kepada sembilan sekolah di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka di sini hari ini.

Sumbangan bahan pembelajaran itu adalah sebahagian daripada inisiatif Dr Annuar selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka dengan kerjasama yayasan pendidikan tempatan, Yayasan Farley untuk mendapatkan 1,000 buku bagi memenuhi keperluan murid sekolah rendah dari 22 rumah panjang di kawasannya.

“Ia akan menjadi bahan bacaan ringan yang sesuai untuk golongan itu tetapi tetap memberi tumpuan kepada STEM (sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik) seperti buku mengenai galaksi, haiwan dan tumbuhan yang berharga tidak lebih daripada RM20 setiap satu,” katanya.

Dr Annuar menjelaskan kira-kira 100 buku akan diletakkan di setiap rumah panjang bagi tempoh tiga bulan dan akan digilirkan antara rumah panjang itu.

Menegaskan membaca adalah penting bagi seseorang untuk menimba ilmu, beliau berharap usaha menggunakan bahan bacaan ringan itu dapat membantu memupuk tabiat membaca dalam kalangan murid di rumah panjang tersebut.

“Dalam masa tiga hingga lima tahun lagi mereka boleh menjadi pelajar cemerlang. Tetapi persoalannya sekarang ialah bagaimana untuk memastikan mereka membaca buku yang telah disediakan untuk mereka?,” katanya.

Annuar berkata perlu ada cara untuk merekodkan data, berapa banyak buku yang pelajar telah baca bagi memastikan keberkesanan program membaca itu.

Selain program membaca, pusat khidmatnya telah menyambung kembali kelas tuisyen secara percuma untuk murid-murid di rumah panjang terlibat yang dihentikan berikutan pandemik COVID-19.

Kelas tuisyen empat kali seminggu di ruang komunal rumah panjang yang dipanggil ‘ruai’ itu bermula pada 6.30 petang dan berakhir pada 9 malam dengan ketua rumah panjang memantau kehadiran murid. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.