Nabila Razali mengaku ‘ketagih’ jadi jahat

Spread the love

KUCHING, 12 Julai : Penyanyi Nabila Razali yang semakin aktif dalam dunia lakonan mengakui dia kini seolah – olah ‘ketagih’ untuk menjadi jahat.

Bagaimanapun jelas artis berusia 29 tahun ini, ‘perangai buruk’ yang dimaksudkan itu bukanlah dalam kehidupan realiti sebaliknya hanya menerusi watak dalam lakonannya selepas ini.

Artis berusia 29 tahun itu berkata, sebelum ini dia sangat berlapang dada sekiranya diberikan tanggungjawab untuk membawa watak ‘air mata’ atau wanita yang sering ditindas dalam drama.

“Namun segalanya berubah selepas saya berlakon sebagai  ‘queen control’ dalam drama Wan Senja baru – baru ini.

“Saya berasa puas hati dengan watak itu, kalau boleh, mahu watak yang lebih jahat selepas ini,” katanya menerusi temu bual eksklusif bersama TVS semalam.

Nabila kini berada di Sarawak untuk menyertai beberapa program terbitan stesen televisyen ini.

Penyanyi lagu Peluang Kedua itu berkata, selepas ini jika diberikan peluang, dia mahu ‘meneroka’ watak psiko pula.

Ditanya tentang perkembangan dunia nyanyian pula, Nabila berkata, di sebalik keseronokan dunia lakonan, bidang tarik suara kekal menjadi cinta pertamanya.

“Saya akan merakamkan single terbaharu selepas ini kerana saya pilih tugasan yang tidak memakan masa terlalu panjang,”katanya.

Sementara itu, Nabila yang juga graduan dari Universiti Sains Malaysia (USM) ini turut berkongsi realiti sebenar dunia lakonan.

Menurutnya, bidang ini menuntut komitmen yang sangat tinggi di sebalik ‘glamor’ yang terpancar.

“Bidang lakonan ini, memang kena all out , contoh satu drama boleh memakan masa penggambaran selama tiga bulan,”katanya.

Bertemu penyanyi yang mesra disapa Bella ini, tidak lengkap rasanya jika tidak diaju solan tentang kritikan pedas yang sering dilemparkan oleh peminat kepadanya.

Berterus terang, Nabila mengakui, dia sentiasa ‘menjadikan’ komen negatif itu sebagai ‘nasihat’ buat dirinya.

“Saya faham sudah menjadi lumrah mereka yang bergelar sebagai public figure untuk menerima pelbagai komen.

“Apa jua yang kita buat ada orang yang suka dan ada orang yang tak suka.

“Jadi kita sebagai anak seni kita kena terima semua pendapat dengan hati yang terbuka,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.