Malaysia dalam senarai jawatankuasa kebudayaan tidak ketara UNESCO – Nancy

Spread the love

ASAJAYA, 12 Julai : Kejayaan Malaysia menduduki kerusi Jawatankuasa Antara Kerajaan Untuk Melindungi Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (IGC-ICH) memberi peluang kepada negara untuk memainkan peranan dengan lebih aktif di peringkat antarabangsa.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri berkata, menerusi penglibatan dalam jawatankuasa di bawah Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) itu, Malaysia akan mengambil bahagian sebelum keputusan penting dibuat.

“Ini satu pengiktirafan buat negara kerana untuk menyertai jawatankuasa ini bukan satu perkara yang mudah.

“Wakil kita boleh mempengaruhi jawatankuasa UNESCO itu dalam membuat sebarang keputusan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Program Ibadah Korban UMW Holdings Berhad di Kampung Sadong Jaya di sini, hari ini.

Sementara itu, Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, budaya negara juga akan dapat dipelihara dengan lebih baik menerusi kedudukan dalam IGC-ICH.

Pada 8 Julai lepas Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan buat kali pertama, Malaysia berjaya menduduki kerusi itu bagi sesi 2022 hingga 2026.

Malaysia dari kumpulan Asia Pasifik meraih 110 undi daripada 132 undi keseluruhan atau 83 peratus.

Sehingga kini, enam elemen ICH di Malaysia disenaraikan di bawah konvensyen sama, iaitu Mak Yong (2005), Dondang Sayang (2018), Silat ( 2019), Upacara Wangkang (2020), Pantun (2020) dan Songket (2021). -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.