Wakil LHDN dari Sarawak telah dipilih oleh Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 11 Julai : Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memilih wakil negeri ini untuk berada dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) seperti yang diminta oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, Sarawak kini sedang menunggu maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan untuk langkah seterusnya.

Katanya, perkembangan ini penting bagi meneruskan usaha menuntut hak Sarawak seperti yang termaktub di dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Perjanjian ini merupakan asas kepada pembentukan Malaysia.

“Apa yang belum kita laksanakan berdasarkan perkara yang termaktub dalam laporan IGC dan MA63 , kita (Sarawak) akan terus perjuangkan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Pengagihan Daging Korban di Pusat Khidmat, Dewan Undangan Negeri (DUN) Samariang di sini hari ini.

Semalam, Abang Johari mengesahkan Sarawak telah diminta supaya menghantar nama wakilnya untuk ‘berada’ dalam LHDN selaras dengan tuntutan MA63.

Sementara itu, Sharifah Hasidah berkata, Sarawak juga kini dalam proses untuk mengembalikan beberapa lagi haknya terutamanya yang berkaitan dengan komposisi kerusi parlimen dan juga geran khas.

“Kita mahu membuat perubahan berdasarkan MA63, di mana kita boleh mempunya lebih banyak lagi kerusi di parlimen.

“Berkenaan dengan geran khas dibawah artikel 112 D pula, kita telah mengusulkan formula baharu. Inilah antara agenda yang kita perlu tunggu maklum balas daripada pihak Kerajaan Persekutuan.

“Semua ini dan juga agenda lain seperti pentadbiran kehakiman yang mahu kita laksanakan tetapi ianya akan mengambil masa,” tambah beliau.

Sharifah Hasidah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samariang pada masa sama turut menentang cadangan segelintir pihak yang ingin membuat perubahan terhadap perjanjian asli MA63.

“Sebarang perubahan terhadap perjanjian asal MA63 tidak boleh dilakukan,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.