Anak kambing miliki telinga panjang 22 inci tarik perhatian

Spread the love

KARACHI, 11 Julai : Seekor anak kambing bernama Simba menjadi sensasi di Internet apabila memiliki telinga sepanjang 65 sentimeter (cm).

Simba yang mempunyai bulu berwarna kekuningan itu menarik perhatian ribuan pengguna di YouTube dengan ciri uniknya.

Reuters melaporkan, kambing itu genap usia sebulan selepas dilahirkan di Karachi, Pakistan pada 4 Jun lepas.

Penternaknya, Mohammad Hassan Narejo telah menghantar butiran Simba ke The Guinness World Records walaupun dia tidak pasti sama ada terdapat pihak lain pernah berbuat demikian sebelum ini.

Semasa Simba dilahirkan, panjang telinganya ialah 48 cm atau 19 inci dan saiz bertambah sebanyak tiga inci dalam masa sebulan.

“Saya menyediakan kantung baldu khas untuk menyimpan telinganya supaya Simba boleh berlari dan bermain tanpa telinganya terjerat,” kata Narejo.

Narejo bekerja di Jabatan Kawalan Trafik Udara, Lapangan Terbang Karachi namun sangat berminat dalam bidang penternakan kambing.

Dia mendedahkan sudah mempunyai perancangan iaitu mahu menyimpan air mani anak kambing itu supaya bakanya boleh dibiakkan.

Simba diberi minum susu sebanyak tiga kali sehari dan ‘diikat’ benang hitam pada lehernya untuk mengelakkan terkena penyakit lain. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.