25 keluarga terima bantuan Kelab Rotary Kuching

Spread the love

KUCHING, 11 Julai : Seramai 25 keluarga dari Kampung Haji Baki menerima bantuan barangan keperluan asas daripada Kelab Rotary Kuching.

Presidennya, Chew Teik Seng berkata, sumbangan tersebut yang disalurkan menerusi inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bertujuan untuk meringankan beban penduduk kampung terutamanya golongan ibu tunggal.

“Setiap keluarga menerima barangan keperluan bernilai kira-kira RM1,000.

“Ia merupakan sebahagian daripada perkhidmatan kami dan berharap agar sumbangan kecil ini dapat membantu kehidupan mereka,” katanya ketika ditemui TVS, di sini hari ini.

Beliau menambah, program CSR ini bukan hanya tertumpu di kawasan bandar malah turut melibatkan kawasan di luar Kuching.

Sehubungan itu, Teik Seng turut mengalu-alukan bantuan daripada pihak lain sama ada aspek segi kewangan mahupun barangan keperluan harian untuk diberikan kepada masyarakat yang memerlukan.

Sementara itu, Penghulu Kampung Haji Baki, Sabtuyah Yusuf menzahirkan rasa syukurnya atas bantuan yang dihulurkan oleh kelab itu kepada penduduk di kampungnya.

“Mereka bakal datang kembali ke sini pada September ini untuk memberi sumbangan kepada yang belum menerimanya.

“Senarai penerima juga sudah ditapis bagi memastikan ianya diagihkan kepada mereka yang benar-benar memerlukan,” katanya.

Inisiatif CSR anjuran Kelab Rotary Kuching dengan kerjasama TVS ini berobjektif untuk menyantuni golongan memerlukan di sekitar bandar raya Kuching.-TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.