Tidak perlu MA63 ‘baharu’, hanya ‘perbetulkan’ yang sedia ada – Abang Johari

Spread the love

KUCHING, 10 Julai : Premier Sarawak menegaskan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) tidak memerlukan ‘kerangka baharu’ sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah memperbetulkan perkara – perkara yang dipersetujui sebelum ini.

Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sekiranya cadangan MA63 baharu itu dilaksanakan, ia akan menafikan perjanjian asal.

“MA63 ialah perjanjian untuk menubuhkan negara namun apa yang berlaku sekarang, kebanyakan perkara yang dipersetujui terhakis.

“Itulah yang perlu kita betulkan, tidak perlu perjanjian baharu,”katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Lembu dan Daging Korban Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri.

Abang Johari berkata demikian sebagai mengulas cadangan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan baru – baru ini agar kepimpinan BN di Sabah mengusulkan Perjanjian Malaysia baharu untuk merealisasikan tuntutan negeri seperti yang termaktub dalam MA63.

Ditanya mengenai ‘kewajaran’ cadangan itu disuarakan, Abang Johari berkata, ianya tidak sepatutnya timbul.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) , Dato Sri Dr Wan Junanidi Tuanku Jaafar turut berkata, MA63 baharu tidak wajar kerana perkara yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak sudah termaktub dalam ‘perjanjian asal’ MA63. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.