Sri Lanka genting, Wisma Putra nasihat tangguh perjalanan tidak penting

Spread the love

KUCHING, 10 Julai : Rakyat Malaysia yang berhasrat untuk ke Sri Lanka dinasihatkan supaya menangguhkan perjalanan yang tidak penting berikutan pergolakan di negara berkenaan ketika ini.

Kementerian Luar memaklumkan, pihaknya kini sedang memantau rapat perkembangan di sana.

“Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Colombo telah menghubungi semua rakyat Malaysia yang berdaftar di Sri Lanka bagi memastikan keselamatan mereka dan memberikan bantuan konsular sekiranya memerlukan,” jelas kementerian berkenaan menerusi kenyataan media hari ini.

Kementerian juga menyeru rakyat Malaysia yang berada di Sri Lanka dan masih belum berdaftar dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia supaya segera berbuat demikian.

Jelas kenyataan itu lagi, semua rakyat Malaysia di Sri Lanka dinasihatkan supaya memberi perhatian sepenuhnya kepada keselamatan mereka dan sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular diminta menghubungi Suruhanjaya Tinggi di 45, Rosmead Place, Colombo 07, Sri Lanka atau di talian +94774830103 atau melalui e-mel [email protected]

Sri Lanka sedang menghadapi krisis ekonomi paling teruk sejak beberapa dekad lalu kerana menghadapi kekurangan bahan api, ubat-ubatan dan bahan makanan.

Presiden Gotabaya Rajapaksa dan Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe telah mengumumkan perletakan jawatan selepas sekumpulan penunjuk perasaan menyerbu kediaman presiden dan membakar kediaman peribadi perdana menteri semalam – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.