Sarawak kini ada wakil dalam LHDN, dapat akses maklumat kewangan negara

Spread the love

KUCHING, 10 Julai : Sarawak telah diminta supaya menghantar nama wakilnya untuk ‘berada’ dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selaras dengan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu merupakan antara maklum balas yang diterima daripada Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

Katanya, melihat aspek pentadbiran, ada perkembangan positif rundingan MA63 apabila Kerajaan Persekutuan telah meminta senarai nama berkenaan.

“Alhamdulillah ada maklum balas Perkara 112 D, Perlembagaan Persekutuan, apabila ada wakil, kita (Sarawak) tahu pendapatan Kerajaan Persekutuan,”katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan Sarawak menuntut beberapa perkara yang terhakis dalam MA63.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, formula pendapatan yang harus ‘diterima’ Sarawak sudah ada dalam MA63 dan hanya perlu dilaksanakan seperti dipersetujui tanpa memerlukan perjanjian baharu.

“Dalam rundingan untuk mendapatkan pemberian khas berkenaan, kita mahukan situasi menang – menang.

“Sekiranya kita ada maklumat tentang kewangan negara dan mendapati Kerajaan Persekutuan mempunyai kedudukan kewangan yang tidak kukuh, kita tidak akan beri tekanan kepada mereka,” katanya.

Terdahulu, Abang Johari hadir pada Majlis Penyerahan Lembu dan Daging Korban Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Gedong di sini hari ini,

Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato Sri Nancy Shukri. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.