Perjanjian tambahan mampu gabung ketidakpatuhan, janji tidak ditunai dalam MA63 – Ongkili

Spread the love

LABUAN, 10 Julai : Berbanding Perjanjian Malaysia baharu, perjanjian tambahan dianggap mampu menggabungkan semua ketidakpatuhan dan janji yang tidak dipenuhi dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MKMA63) boleh dibuka untuk perbincangan mengenai idea mewujudkan Perjanjian Tambahan bagi menggabungkan apa yang disifatkan oleh sesetengah sarjana sebagai ‘Perjanjian Baharu Untuk Sarabah’ (Sabah dan Sarawak) iaitu sebahagian daripada usaha memperkukuh Malaysia.

“Perjanjian tambahan adalah satu kemungkinan yang boleh berakhir dengan perkara yang ditangani oleh MKMA63 sejak dua tahun lepas,” katanya dalam dialog dengan Dewan Perniagaan Cina Labuan serta Dewan Perniagaan dan Industri Kadazandusun di sini hari ini.

Ongkili berkata perjanjian itu mampu menggabungkan semua ketidakpatuhan dan janji tidak dipenuhi yang diiktiraf serta diendors oleh MKMA63.

“Remedi dan peruntukan ini juga terdapat dalam Perkara VIII MA63 yang menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak boleh mengambil langkah sendiri untuk menguat kuasa serta melaksanakan MA63 tanpa perlu meminda Perlembagaan Persekutuan.

“MA63 adalah dokumen keramat yang membawa kepada pembentukan Malaysia. Kita harus menghormati dokumen asas ini, bukan tidak mengendah atau mengabaikannya. Seperti yang saya katakan sebelum ini, tiada MA63, tiada Malaysia,” katanya.

Bagaimanapun, Ongkili berkata beliau memahami tindakan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Jeffrey Kitingan menyarankan usul mengenai Perjanjian Malaysia yang baharu.

“Namun MA63 tiada galang gantinya… kami faham sebab mereka mahukan perjanjian baharu itu, supaya kita boleh mengadakan satu perbincangan yang serius dan mendalam serta bertukar-tukar pendapat mngenai perjanjian tambahan, dengan input teras daripada kerajaan Sabah dan Sarawak serta Tanah Melayu sebagai penandatangan MA63.

“MKMA63, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, mengambil serius perkara ini dan terbuka dalam menyediakan ruang bagi membahaskan semua perkara ini untuk terus memperkukuh Malaysia,” katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.