Mayat kanak-kanak lelaki ditemukan terapung di celah daun keladi, SAR kanak-kanak perempuan diteruskan

Spread the love

BEAUFORT, 10 Julai : Kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun yang dilaporkan hilang petang semalam ditemukan lemas di Kampung Kuridak, Gerama, dekat sini, hari ini.

Mayat Mohd. Qyis Azhar Abdul Halim ditemukan oleh penduduk kampung pada jarak kira -kira 500 meter dari rumahnya pada pukul 10.20 pagi tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Hasbullah Nenggok berkata, mangsa dilaporkan hilang di kawasan rumahnya kira-kira pukul 5.45 petang semalam.

“Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang disambung pada pagi ini berjaya menemui jasadnya dalam keadaan terapung di celah daun keladi,” katanya.

Sementara itu dalam perkembangan lain, SAR seorang lagi kanak-kanak perempuan, Jude Angel Jeremy, 18 bulan, yang hilang di Kampung Saliwangan Baru, Batu 66, Beaufort masih diteruskan.

Hasbullah berkata, operasi hari kedua itu turut dibantu oleh dua ekor Unit Anjing Pengesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 35 orang penduduk kampung.

Kanak-kanak itu hilang dipercayai sesat di hutan berhampiran atau terjatuh ke dalam sungai kira-kira pukul 11.19 pagi semalam. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.