Gagal elak Perodua Alza, penunggang motosikal maut

Spread the love

KEPALA BATAS, 10 Julai : Seorang lelaki terkorban selepas motosikal ditungganginya merempuh belakang sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang berhenti di bahu jalan di Kilometer (km) 119.0 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan dekat sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.40 petang itu, mangsa maut di tempat kejadian disyaki akibat kecederaan parah pada kepala.

Mangsa yang menunggang secara bersendirian dikatakan dalam perjalanan dari arah Sungai Petani, Kedah ke Seberang Jaya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Radzi Ahmad berkata, siasatan mendapati mangsa tidak sempat mengelak MPV jenis Perodua Alza yang berhenti di lorong kecemasan sebelum merempuh belakang kenderaan tersebut.

“Akibat kejadian itu, penunggang berkenaan telah terpelanting ke atas jalan.

“Mangsa yang cedera parah di kepala disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas bagi urusan bedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.