Anak muda disaran sertai aktiviti komuniti – Fazzrudin

Spread the love

KUCHING, 10 Julai : Pembangunan sesebuah komuniti memerlukan penglibatan golongan belia sekaligus boleh membentuk ciri kepimpinan di kalangan generasi berkenaan.

Ketua Setiausaha Politik Kepada Premier Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, penglibatan golongan belia dalam aktiviti kemasyarakatan juga merupakan pendedahan awal bagi golongan itu memahami peranan serta tanggungjawab untuk menjadi seorang pemimpin.

“Mereka akan mengambil alih kepimpinan sedia ada baik pada peringkat tinggi atau komuniti setempat.

“Sekurang-kurangnya mereka tahu proses dan langkah kerja apabila melibatkan diri dengan program komuniti,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita setelah menyempurnakan pengagihan daging bersempena ibadah korban di Kampung Tupong Ulu di sini hari ini.

Sehubungan itu, Fazzrudin berharap agar golongan belia di Sarawak akan terus melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan.

Sementara itu, Ketua Pemuda Kampung Tupong Ulu, Azreen Abdul Rahim berkata, kesibukan urusan harian tidak sepatutnya menjadi alasan untuk tidak melibatkan diri dalam aktiviti kemasyarakatan.

“Anak muda perlu diberikan dorongan supaya mereka selesa berdamping dengan masyarakat pelbagai lapisan umur,”katanya. -TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.