Aidiladha, ibadah korban meriah di Sarawak, Sabah

Spread the love

KUCHING, 10 Julai : Penantian umat Islam di Sarawak dan Sabah untuk menunaikan ibadah korban secara bebas dan meriah sempena sambutan Hari Raya Aidiladha selepas dua tahun ibadah itu dihadkan berikutan penularan COVID-19, berakhir tahun ini.

Walaupun tiada lagi prosedur operasi standard (SOP) ketat seperti penjarakan fizikal dan had jumlah jemaah, orang ramai yang hadir di surau dan masjid masih memakai pelitup muka sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19.

Di Kuching, Sarawak, suasana masjid dan surau dibanjiri kehadiran jemaah yang tidak mahu melepaskan peluang menunaikan solat sunat Aidiladha serta menyertai ibadah korban, susulan Majlis Islam Sarawak (MIS) yang membenarkan ibadah itu dilaksanakan di masjid dan surau di negeri itu.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menunaikan solat bersama ratusan jemaah di Masjid Jamek Negeri Sarawak di Petra Jaya di sini yang kemudiannya menyempurnakan Majlis Korban Perdana anjuran MIS.

Menerusi program tersebut, seramai 100 asnaf dari Gabungan Saudara Kita di sekitar bandar raya itu menerima manfaat agihan daging korban berkenaan.

Abang Johari yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gedong akan menghadiri majlis serupa di Masjid Al-Kawthar Gedong petang ini.

Sementara di Kota Kinabalu, Sabah,  ribuan jemaah menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Negeri Sabah dan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.

Umat Islam di sekitar bandar raya itu tidak melepaskan peluang untuk beramai-ramai menunaikan solat sunat Aidiladha pada tahun ini selepas dua tahun terikat dengan SOP susulan pandemik COVID-19.

Sudah menjadi budaya baharu, walaupun SOP mengekang COVID-19 dilonggarkan, orang awam yang hadir tetap mengamalkan kawalan kendiri pemakaian pelitup muka dan mensanitasi tangan sebagai langkah berjaga-jaga.

Tinjauan turut mendapati keadaan lalu lintas di sekitar Kota Kinabalu agak lengang ekoran ramai yang pulang ke kampung halaman untuk menyambut Aidiladha bersama keluarga masing-masing. – TVS


Join our social media channel to get our news Alerts and highlights.

Leave a Reply

Your email address will not be published.